Disember 13, 2017
KENAPA PERGIGIAN DI MESIR?
Alhamdullilah masih diberi kesempatan ruang dan masa untuk aku
berkarya idea. Sekarang menuju fasa peperiksaan semester pertama tahun kedua
aku di sini.
SPM baru-baru ini telah berlalu, semua pasti tertunggu-tunggu natijah
(keputusan) yang terbaik, akak doakan semuanya cemerlang, Insya-Allah. Tahniah
buat semua! Sebenarnya apa pun natijah lakaran markah di slip korang nanti, korang
semua tetap terbaik kerana sudah melepasi fasa persekolahan!
Apa yang penting sekarang buatlah pilihan yang terbaik untuk masa
depan. Pastikan setiap peluang diambil dan jangan terburu-buru memilih bidang.
Buatlah pilihan apabila tawaran datang dan ketika itu kita mempunyai banyak
pilihan. Baru buat pilihan betul-betul dan tepat.
Tanya cikgu di sekolah, pendapat ibubapa, keluarga, orang yang
berpengalaman, dan jangan lupa istikharah juga. Insya-Allah akan dibukakan
pintu hati oleh-Nya untuk membuat pilihan yang tepat dalam dilema memilih
bidang dan tempat pengajian.
Ramai Yang Bertanya Tentang Pergigian Di Mesir.
Macam mana nak ‘apply’?
Apa beza pergigian di Mesir dan tempat-tempat lain?
Kos belanja bulanan berapa?
Betul ke pergigian di Mesir tak bagus?
Macam mana dengan kelas, budaya, dan pertuturan?
Insya-Allah kali ini akak akan cuba menjawab segala persoalan
tersebut dan semoga ia akan membantu adik-adik yang tengah pening kepala untuk
memilih ataupun tiada peluang pergigian di Malaysia.
Untuk pengetahuan umum, terdapat 5 buah universiti yang menawarkan
kursus pergigian yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Malaysian
Medical Council (MMC), iaitu:
· Universiti Al-Azhar, Kaherah
·
Universiti
Ain Shams, Kaherah
·
Universiti
Alexandria
·
Universiti
Tanta
· Universiti Mansoura
KENAPA PILIH BELAJAR PERGIGIAN KAT MESIR?
Sebab pertama, kalau betul-betul rasa nak belajar bidang Pergigian,
Mesir adalah tempat yang paling mudah untuk mendapat tempat dan yuran pun tak
semahal di Ireland, India, Russia, dan Indonesia. Kualiti pengajian pastinya
bertaraf antarabangsa dan kita berpeluang untuk menyambung ke peringkat sarjana
di mana-mana negara termasuk Eropah.
Sebab kedua, Mesir ini orang gelarkan sebagai ‘ardul kinanah’,
‘ardul anbiya’, sebab itu keberkatan belajar kat sini lain daripada negara
lain. Lagi satu, kita boleh tambah ilmu agama dengan mengikut talaqqi Bersama
para syeikh di Mesir, liqa’, usrah, halaqah, dan lain-lain aktiviti agama.
Bi’ah juga terjaga dengan pemakaian menutup aurat di mana-mana, tiada budaya
kelab malam dan alkohol seperti pengalaman pelajar-pelajar kita di negara
barat.
Sebab ketiga, terdapat pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang boleh
kita sertai bagi meingkatkan ‘soft skill’ dan juga beramah mesra dengan
penduduk Arab dan masyarakat antarabangsa kerana dalam fakulti saya bercampur
pelbagai warganegara belajar bersama. Orangnya juga semua peramah dan suka
menolong, tapi mesti berhati-hati juga.
TAK MAHAL KE YURAN PERKHIDMATAN + YURAN PENGAJIAN SEMUA TU?
Mahal la! Tapi murah lagi dari Malaysia. Kamu boleh memohon dermasiswa,
yayasan, atau zakat negeri masing-masing buat sementara waktu untuk tahun 1.
Yuran tahunan adalah sebanyak USD 8000 bersamaan lebih kurang RM 36000. Untuk
dapat tajaan pada zaman sekarang ini sepertinya susah. Insya-Allah dengan
result Mumtaz dan Jayid Jiddan dah boleh mohon dermasiswa, yayasan atau zakat.
Mengikut pengalaman akak, alhamdulillah akak mendapat tajaan
biasiswa daripada Kerajaan Mesir dengan memohonnya di Kedutaan Besar Malaysia
Kaherah (KBMK). Alhamdulillah, daripada yuran tahunan sebanyak USD 8000 itu
akak hanya perlu bayar lebih kurang RM 200 (LE 800) untuk setiap tahun. Murah
kan?
Biasiswa ini
dibuka setiap tahun dan ia hanyalah untuk pelajar G2G sahaja. Apa itu G2G? G2G
adalah singkatan bagi ‘Government to Government’. Sistem pembelajarannya
sama dengan setiap universiti di setiap negara termasuk Malaysia. Silibus
pengajian dan peperiksaan di dalam Bahasa Inggeris, tetapi Bahasa pengantar di
dalam kelas dalam Bahasa Arab Tempatan.
Kita akan duduk
sekelas bersama dengan pelajar-pelajar Arab dan luar negara yang lain, dan
belajar bersama mereka. Seronok sebab dapat kenal ramai kawan luar negara dan
belajar bahasa mereka. Tapi kita memang perlu kuat semangat dan sanggup
mengharungi lima tahun di Mesir ini dengan baik. Tips akak, kita memang kena
rapat dengan kawan-kawan Arab dan juga rapat dengan pensyarah supaya mereka
senang untuk membantu kita.
MACAM MANA NAK MOHON?
Pendaftaran dibuka setiap tahun bermula sebelum keluar keputusan
SPM dan tutup selepas beberapa minggu keluar keputusan SPM, jadi kena selalu
rajin melawati portal Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mendapatkan
maklumat. Boleh lawati portal ini https://www.mohe.gov.my/
untuk maklumat lanjut dan taip ‘Mesir’ di ruang carian.
Fasa awal, kita akan daftar hanya melalui atas talian (online)
dan tunggu sehingga nama kita disenarai pendekkan atau diterima, setelah itu
baru fikir untuk selesaikan semua dokumen yang diperlukan. Kita akan diberi
masa lebih kurang sebulan untuk melengkapkan semua dokumen yang diperlukan.
Ada juga cara lain dengan mendaftar bawah Majlis Agama Islam Negeri
masing-masing, boleh rujuk ke pejabat mereka atau laman sesawang mereka.
Baagi sesiapa yang ingin mencuba atas tiket ejen, kamu boleh terus hubungi
mana-mana ejen yang ada melalui internet. Pastikan ejen yang anda pilih
mendapat kelulusan dan berpengalaman menghantar pelajar ke Mesir supaya tidak
tertipu! Contoh, ejen yang disarankan ialah Medic Mesir, Daulah Medic, Islamic
Medic, dan banyak lagi. Lebih baik dapatkan informasi daripada senior terlebih
dahulu sebelum memilih mana-mana ejen.
APE BEZA PERGIGIAN DI MESIR DENGAN TEMPAT-TEMPAT LAIN?
Sebenarnya tiada apa yang membezakan pergigian di Mesir dengan di
tempat-tempat lain terutamanya pergigian tempatan. Sukatan pelajaran tetap sama
(lepasan Mesir boleh bekerja di hospital Malaysia selepas bergelar graduan),
apa yang saya dapat gambarkan adalah:
1. Sistem Pembelajaran
Jika kamu memilih untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Ain
Shams dalam bidang pergigian, kamu mempunyai dua pilihan samada belajar dalam
sistem biasa atau sistem kredit yang lebih mahal.
Sistem biasa tiada apa yang menarik kerana masih sama dengan cara
pembelajaran di sekolah. Untuk sistem kredit, ia lebih mencabar dan lebih sibuk
berbanding yang lain. Tapi ia bagus. Peperiksaannya juga sama yang mempunyai
sistem MCQ (soalan komputer), esei, dan lisan
(oral). Sistem ini dianggap biasa kerana juga diaplikasikan kini di
universiti di negara kita.
Sistem pembelajaran di Universiti Ain Shams tidak terlalu padat dan
akak masih mempunyai masa untuk melakukan aktiviti sosial dan kemasyarakatan.
Akak juga aktif dalam menggerakkan aktiviti-aktiviti yang berbentuk sosoal yang
dianjurkan oleh Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia cawangan Mesir (YDKMM
Mesir). Jangan risau, aktif tak akan menghalang natijah keputusan kita nanti,
ia bergantung kepada cara untuk kita mengurus diri kita. Alhamdulilah akak
boleh dapat keputusan yang baik walaupun aktif bersosial dan membantu
masyarakat. Nak tips? Nanti boleh hubungi akak.
2. Belajar dalam keadaan persekitaran dan suhu yang berbeza
mengikut musim
Suhu dan keadaan persekitaran cukup memainkan peranan penting dalam
memberikan keberkesanan pembelajaran kita seharian. Perkara ini menjadi cabaran
yang cukup hebat buat semua pelajar yang kini sedang menimba ilmu di Mesir. Untuk
pengetahuan umum, Mesir mempunyai 4 musim yang berbeza dalam masa setahun.
Musim sejuknya tidaklah bersalji, tetapi tetap ia adalah musim yang paling
sukar untuk sesetengah pelajar. Tapi bagi akak, akak seronok. Suhu akan
mencapai tahap 10 – 15 darjah paling tinggi dan serendah 5 – 6 darjah celcius dan
sangat sesuai untuk berada dalam selimut! Sekarang ni akak tengah berbungkus
dalam kain tebal ni, sejuk!!
Tak lupa juga bila tiba waktu musim panas, ini yang lebih mencabar
sebenarnya, rasa seperti mahu duduk di dalam tandas sahaja untuk mandi. Angin
sepoi-sepoi bahasa yang terasa bahangnya membuatkan kita rasa tak betah untuk
berada di luar rumah. Bekalan air perlu dibawa sentiasa.
Dugaan buat kita bila tiba bulan Ramadhan, semua memilih untuk
tidak keluar rumah, keluar hanya pada malam sahaja. Tapi Ramadhan di Mesir
adalah yang paling seronok, seronok melihat masyarakat Arab yang terlalu
pemurah. Berkali-kali juga rasanya dapat makanan percuma yang dimasak khas oleh
mama (makcik) Arab.
PERGIGIAN DI UNIVERSITI AIN SHAMS
Keseluruhannya adalah lima (5) tahun di Fakulti Pergigian dan
Surgeri Unversiti Ain Shams. Apa yang bestnya, di sini tiada istilah
persediaan atau asasi. Datang terus mula kuliah tahun 1. Cepatkan… Di Mesir
juga kita boleh mohon untuk buat ‘double degree’ di Universiti Al-Azhar,
bagi pelajar yang sukakan pelajaran Sains Kesihatan dan nak tambah ilmu dalam
bidang keagamaan. Itu kelebihannya bagi pelajar di Universiti Ain Shams.
InsyaAllah, akak juga bakal mengambil ‘double degree’ nanti. Doakan.
Matapelajaran yang bakal dipelajari ialah:
📍Tahun
1
|
📍Tahun
2
|
📍Tahun
3
|
📍Tahun
4
|
📍Tahun
5
|
Anatomy
|
General Pathology
|
Oral biology
|
Radiology ( x
ray )
|
Orthodontics
|
Physiology
|
General
Microbiology
|
Prosthodontics
|
Endodontics
|
Oral medicine
|
Biochemistry
|
General
Pharmacology
|
General
surgery , ENT , ophthalmology
|
Oral
pathology
|
Endodontics
|
Histology
|
Dentition
|
Operative
|
Operative
|
Operative
|
Computer
|
Dental
Materials
|
Crown and
bridge
|
Crown and
bridge
|
Crown and
bridge
|
Dental
terminologies
|
Infection
control
|
Internal ,
reproductive , dermatology medicine
|
Oral surgery
and local anesthesia
|
Pedodontics
|
English
|
|
|
Prosthodontics
|
Prosthodontics
|
Ethics
|
|
|
Oral medicine
, periodontics , diagnosis
|
Oral surgery
and general anesthesia
|
KOS BELANJA BULANAN BERAPA?
Kos sara hidup di Mesir amatlah rendah dan bebaloi! Ya, ianya tidak
disangkal lagi. Harga makanan, tempat tinggal dan keperluan-keperluan lain
cukup murah berbeza dengan negara kita. Contohnya:
Harga tempat tinggal rumah sewa (3/4 bilik): RM 150-200 sebulan untuk
satu rumah (satu rumah 6/7 orang)
Harga sebotol air mineral 1.5 ml: RM 1.00
Harga seekor ayam mentah : RM 10.00
Harga nasi Arab: RM 5.50
Harga tiket bas awam: RM 0.50 untuk ke semua destinasi
KOS BULANAN: RM 500 (mengikut perbelanjaan masing-masing dan termasuk
kos penempatan)
Mesir mengunakan sistem mata wang Pound Mesir (Junaih) : 4 junaih bersamaan
RM 1. Murah sangat kan?
BETUL KE PERGIGIAN DI MESIR TAK BAGUS ?
Soalan yang cukup menarik untuk kita bincangkan. Baru-baru ini
perkara ini cukup mengemparkan dunia pergigian di Malaysia apabila sebuah
akhbar popular tempatan mengeluarkan artikel mengenai ketidakupayaan graduan Mesir
ketika houseman (HO) di Malaysia dan prestasi kerja mereka yang cukup
menyedihkan.
Sebenarnya tiada apa yang perlu dibimbangkan. Jika kita nak berbicara
dengan hanya prestasi seorang ataupun dua, tiga orang, tidak perlu nak
pertikaikan yang masih berbaki beribu-ribu yang lain bukan? Ianya satu
kebiasaan apabila ada HO yang mempunyai prestasi yang tidak baik sebab
permulaan alam pekerjaan. Kenapa mesti dipertengahkan isu ini jika ianya
melibatkan graduan luar negara seperti Mesir serta yang lainnya dan jika ianya
melibatkan graduan tempatan, isu ini tidak ditimbulkan pula?
Tiada apa yang membezakan kita di Mesir mahupun di tempat-tempat
lain. Di mana pun kita jika kita berusaha kita akan dapat, jika kita mengikut
jalan dan sentiasa istiqamah kita yang akan cemerlang. Hukum alam telah
membuktikan betapa orang yang berusaha itu pasti akan berjaya walaupun jika di
timpa kegagalan pada mulanya kemudiannya pasti ada kejayaan.
Oleh itu, tiada istilah pergigian di Mesir tidak bagus kerana
sukatan pembelajaran di mana-mana tetap sama dan mengikut kehendak semasa. Cuma
yang bezanya mentaliti masyarakat kita di tanah air yang beranggapan pelajar
luar negara lebih seronok melancong di negara-negara lain berbanding belajar
walhal melancong itu hanyalah satu peluang yang di ambil untuk mengisi masa
cuti semester jika tidak pulang ke tanah air. Bahkan, persekitaran belajar jika
di ambil kira lebih mencabar di luar negara berbanding di tempatan dari segi
makanan, pengangkutan, pergaulan dan sebagainya.
MACAM MANA DENGAN KELAS, MAKANAN?
Komuniti Malaysia di Mesir (Kaherah terutamanya) memang ramai, kadang-kadang
terfikir yang aku sedang belajar di Malaysia. Jalan sikit jumpa muka Melayu,
jalan lagi jumpa lagi.
Makanan kat Mesir ini memang terbaik bagi siapa yang sukakan roti
dan sebagainya. Nasi juga merupakan makanan rugi orang Arab, jadi tak perlu
pening kepala. Segala kemudahan ada di sini. Ia lebih seronok apabila
restoran-restoran Asia terlalu banyak di sini. Semua jenis makan Melayu ada
dijual di Mesir. Contohnya Nasi Kerabu, Nasi Ayam, Mee Celup, dan sebagainya.
Jika disenaraikan, tak cukup satu kertas senarai kedai Asia yang ada di Mesir
ini bermula dari Malaysia, Indonesia, sehinggalah ke restoran Thailand. Tak nak
masak pun tak ada masalah. :)
Begitulah serba sedikit perkongsian mengenai pergigian di negara
Mesir. Maaf andai masih tidak dapat menjawab persoalan semua kerana segala apa yang
di tulis adalah hasil pengalaman pengajian aku di sini selama dua tahun ini. Nasihat
untuk adik-adik, belajar di mana-mana adalah sama yang membezakan ia adalah
usaha kita sendiri dan bukannya orang lain. Buatlah pilihan yang tepat kerana
ianya akan menjadi satu jalan untuk masa depan yang berpanjangan, bertanyalah
orang yang berpengalaman kerana mungkin ideanya dapat memberikan kata putus
buat kebuntuan dan semestinya jalan lupa untuk berdoa dan yang paling penting
Istikarah meminta jalan daripada Allah SWT.
Selamat membuat pilihan ! :)
Siti Nur Nazihah Binti Che Ab Rahim
Alumni MRSM Pengkalan Chepa, Kelantan
Alumni Pusat Asasi UIAM
Tahun 2 Fakulti Pergigian, Universiti Ain Shams, Mesir
Bendahari YDKMM Mesir Sesi 2017/2019
Whatsapp: +201122443611
Facebook : Siti Nazihah Rahim