KENAPA PERGIGIAN DI MESIR?

Disember 13, 2017

KENAPA PERGIGIAN DI MESIR?

Alhamdullilah masih diberi kesempatan ruang dan masa untuk aku berkarya idea. Sekarang menuju fasa peperiksaan semester pertama tahun kedua aku di sini.

SPM baru-baru ini telah berlalu, semua pasti tertunggu-tunggu natijah (keputusan) yang terbaik, akak doakan semuanya cemerlang, Insya-Allah. Tahniah buat semua! Sebenarnya apa pun natijah lakaran markah di slip korang nanti, korang semua tetap terbaik kerana sudah melepasi fasa persekolahan!

Apa yang penting sekarang buatlah pilihan yang terbaik untuk masa depan. Pastikan setiap peluang diambil dan jangan terburu-buru memilih bidang. Buatlah pilihan apabila tawaran datang dan ketika itu kita mempunyai banyak pilihan. Baru buat pilihan betul-betul dan tepat.
Tanya cikgu di sekolah, pendapat ibubapa, keluarga, orang yang berpengalaman, dan jangan lupa istikharah juga. Insya-Allah akan dibukakan pintu hati oleh-Nya untuk membuat pilihan yang tepat dalam dilema memilih bidang dan tempat pengajian.

Ramai Yang Bertanya Tentang Pergigian Di Mesir.

Macam mana nak ‘apply’?
Apa beza pergigian di Mesir dan tempat-tempat lain?
Kos belanja bulanan berapa?
Betul ke pergigian di Mesir tak bagus?
Macam mana dengan kelas, budaya, dan pertuturan?

Insya-Allah kali ini akak akan cuba menjawab segala persoalan tersebut dan semoga ia akan membantu adik-adik yang tengah pening kepala untuk memilih ataupun tiada peluang pergigian di Malaysia.

Untuk pengetahuan umum, terdapat 5 buah universiti yang menawarkan kursus pergigian yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Malaysian Medical Council (MMC), iaitu:
·       Universiti Al-Azhar, Kaherah
·       Universiti Ain Shams, Kaherah
·       Universiti Alexandria
·       Universiti Tanta
·       Universiti Mansoura

KENAPA PILIH BELAJAR PERGIGIAN KAT MESIR?

Sebab pertama, kalau betul-betul rasa nak belajar bidang Pergigian, Mesir adalah tempat yang paling mudah untuk mendapat tempat dan yuran pun tak semahal di Ireland, India, Russia, dan Indonesia. Kualiti pengajian pastinya bertaraf antarabangsa dan kita berpeluang untuk menyambung ke peringkat sarjana di mana-mana negara termasuk Eropah.

Sebab kedua, Mesir ini orang gelarkan sebagai ‘ardul kinanah’, ‘ardul anbiya’, sebab itu keberkatan belajar kat sini lain daripada negara lain. Lagi satu, kita boleh tambah ilmu agama dengan mengikut talaqqi Bersama para syeikh di Mesir, liqa’, usrah, halaqah, dan lain-lain aktiviti agama. Bi’ah juga terjaga dengan pemakaian menutup aurat di mana-mana, tiada budaya kelab malam dan alkohol seperti pengalaman pelajar-pelajar kita di negara barat.

Sebab ketiga, terdapat pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang boleh kita sertai bagi meingkatkan ‘soft skill’ dan juga beramah mesra dengan penduduk Arab dan masyarakat antarabangsa kerana dalam fakulti saya bercampur pelbagai warganegara belajar bersama. Orangnya juga semua peramah dan suka menolong, tapi mesti berhati-hati juga.


TAK MAHAL KE YURAN PERKHIDMATAN + YURAN PENGAJIAN SEMUA TU?

Mahal la! Tapi murah lagi dari Malaysia. Kamu boleh memohon dermasiswa, yayasan, atau zakat negeri masing-masing buat sementara waktu untuk tahun 1. Yuran tahunan adalah sebanyak USD 8000 bersamaan lebih kurang RM 36000. Untuk dapat tajaan pada zaman sekarang ini sepertinya susah. Insya-Allah dengan result Mumtaz dan Jayid Jiddan dah boleh mohon dermasiswa, yayasan atau zakat.

Mengikut pengalaman akak, alhamdulillah akak mendapat tajaan biasiswa daripada Kerajaan Mesir dengan memohonnya di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK). Alhamdulillah, daripada yuran tahunan sebanyak USD 8000 itu akak hanya perlu bayar lebih kurang RM 200 (LE 800) untuk setiap tahun. Murah kan?

Biasiswa ini dibuka setiap tahun dan ia hanyalah untuk pelajar G2G sahaja. Apa itu G2G? G2G adalah singkatan bagi ‘Government to Government’. Sistem pembelajarannya sama dengan setiap universiti di setiap negara termasuk Malaysia. Silibus pengajian dan peperiksaan di dalam Bahasa Inggeris, tetapi Bahasa pengantar di dalam kelas dalam Bahasa Arab Tempatan.

Image may contain: 1 person, sitting, table and indoor

Kita akan duduk sekelas bersama dengan pelajar-pelajar Arab dan luar negara yang lain, dan belajar bersama mereka. Seronok sebab dapat kenal ramai kawan luar negara dan belajar bahasa mereka. Tapi kita memang perlu kuat semangat dan sanggup mengharungi lima tahun di Mesir ini dengan baik. Tips akak, kita memang kena rapat dengan kawan-kawan Arab dan juga rapat dengan pensyarah supaya mereka senang untuk membantu kita.


MACAM MANA NAK MOHON?

Pendaftaran dibuka setiap tahun bermula sebelum keluar keputusan SPM dan tutup selepas beberapa minggu keluar keputusan SPM, jadi kena selalu rajin melawati portal Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mendapatkan maklumat. Boleh lawati portal ini https://www.mohe.gov.my/ untuk maklumat lanjut dan taip ‘Mesir’ di ruang carian.

Fasa awal, kita akan daftar hanya melalui atas talian (online) dan tunggu sehingga nama kita disenarai pendekkan atau diterima, setelah itu baru fikir untuk selesaikan semua dokumen yang diperlukan. Kita akan diberi masa lebih kurang sebulan untuk melengkapkan semua dokumen yang diperlukan.

Ada juga cara lain dengan mendaftar bawah Majlis Agama Islam Negeri masing-masing, boleh rujuk ke pejabat mereka atau laman sesawang mereka.

Baagi sesiapa yang ingin mencuba atas tiket ejen, kamu boleh terus hubungi mana-mana ejen yang ada melalui internet. Pastikan ejen yang anda pilih mendapat kelulusan dan berpengalaman menghantar pelajar ke Mesir supaya tidak tertipu! Contoh, ejen yang disarankan ialah Medic Mesir, Daulah Medic, Islamic Medic, dan banyak lagi. Lebih baik dapatkan informasi daripada senior terlebih dahulu sebelum memilih mana-mana ejen.


APE BEZA PERGIGIAN DI MESIR DENGAN TEMPAT-TEMPAT LAIN?

Sebenarnya tiada apa yang membezakan pergigian di Mesir dengan di tempat-tempat lain terutamanya pergigian tempatan. Sukatan pelajaran tetap sama (lepasan Mesir boleh bekerja di hospital Malaysia selepas bergelar graduan), apa yang saya dapat gambarkan adalah:

1. Sistem Pembelajaran

Jika kamu memilih untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Ain Shams dalam bidang pergigian, kamu mempunyai dua pilihan samada belajar dalam sistem biasa atau sistem kredit yang lebih mahal.

Sistem biasa tiada apa yang menarik kerana masih sama dengan cara pembelajaran di sekolah. Untuk sistem kredit, ia lebih mencabar dan lebih sibuk berbanding yang lain. Tapi ia bagus. Peperiksaannya juga sama yang mempunyai sistem MCQ  (soalan komputer), esei, dan lisan (oral). Sistem ini dianggap biasa kerana juga diaplikasikan kini di universiti di negara kita.

Sistem pembelajaran di Universiti Ain Shams tidak terlalu padat dan akak masih mempunyai masa untuk melakukan aktiviti sosial dan kemasyarakatan. Akak juga aktif dalam menggerakkan aktiviti-aktiviti yang berbentuk sosoal yang dianjurkan oleh Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia cawangan Mesir (YDKMM Mesir). Jangan risau, aktif tak akan menghalang natijah keputusan kita nanti, ia bergantung kepada cara untuk kita mengurus diri kita. Alhamdulilah akak boleh dapat keputusan yang baik walaupun aktif bersosial dan membantu masyarakat. Nak tips? Nanti boleh hubungi akak.

2. Belajar dalam keadaan persekitaran dan suhu yang berbeza mengikut musim

Suhu dan keadaan persekitaran cukup memainkan peranan penting dalam memberikan keberkesanan pembelajaran kita seharian. Perkara ini menjadi cabaran yang cukup hebat buat semua pelajar yang kini sedang menimba ilmu di Mesir. Untuk pengetahuan umum, Mesir mempunyai 4 musim yang berbeza dalam masa setahun. Musim sejuknya tidaklah bersalji, tetapi tetap ia adalah musim yang paling sukar untuk sesetengah pelajar. Tapi bagi akak, akak seronok. Suhu akan mencapai tahap 10 – 15 darjah paling tinggi dan serendah 5 – 6 darjah celcius dan sangat sesuai untuk berada dalam selimut! Sekarang ni akak tengah berbungkus dalam kain tebal ni, sejuk!!

Tak lupa juga bila tiba waktu musim panas, ini yang lebih mencabar sebenarnya, rasa seperti mahu duduk di dalam tandas sahaja untuk mandi. Angin sepoi-sepoi bahasa yang terasa bahangnya membuatkan kita rasa tak betah untuk berada di luar rumah. Bekalan air perlu dibawa sentiasa.

Dugaan buat kita bila tiba bulan Ramadhan, semua memilih untuk tidak keluar rumah, keluar hanya pada malam sahaja. Tapi Ramadhan di Mesir adalah yang paling seronok, seronok melihat masyarakat Arab yang terlalu pemurah. Berkali-kali juga rasanya dapat makanan percuma yang dimasak khas oleh mama (makcik) Arab.


PERGIGIAN DI UNIVERSITI AIN SHAMS


Image may contain: sky and outdoor

Keseluruhannya adalah lima (5) tahun di Fakulti Pergigian dan Surgeri Unversiti Ain Shams. Apa yang bestnya, di sini tiada istilah persediaan atau asasi. Datang terus mula kuliah tahun 1. Cepatkan… Di Mesir juga kita boleh mohon untuk buat ‘double degree’ di Universiti Al-Azhar, bagi pelajar yang sukakan pelajaran Sains Kesihatan dan nak tambah ilmu dalam bidang keagamaan. Itu kelebihannya bagi pelajar di Universiti Ain Shams. InsyaAllah, akak juga bakal mengambil ‘double degree’ nanti. Doakan.

Matapelajaran yang bakal dipelajari ialah:

📍Tahun 1
📍Tahun 2
📍Tahun 3
📍Tahun 4
📍Tahun 5
Anatomy
General Pathology
Oral biology
Radiology ( x ray )
Orthodontics
Physiology
General Microbiology
Prosthodontics
Endodontics
Oral medicine
Biochemistry
General Pharmacology
General surgery , ENT , ophthalmology
Oral pathology
Endodontics
Histology
Dentition
Operative
Operative
Operative
Computer
Dental Materials
Crown and bridge
Crown and bridge
Crown and bridge
Dental terminologies
Infection control
Internal , reproductive , dermatology medicine
Oral surgery and local anesthesia
Pedodontics
English


Prosthodontics
Prosthodontics
Ethics


Oral medicine , periodontics , diagnosis
Oral surgery and general anesthesia


KOS BELANJA BULANAN BERAPA?

Kos sara hidup di Mesir amatlah rendah dan bebaloi! Ya, ianya tidak disangkal lagi. Harga makanan, tempat tinggal dan keperluan-keperluan lain cukup murah berbeza dengan negara kita. Contohnya:

Harga tempat tinggal rumah sewa (3/4 bilik): RM 150-200 sebulan untuk satu rumah (satu rumah 6/7 orang)
Harga sebotol air mineral 1.5 ml: RM 1.00
Harga seekor ayam mentah : RM 10.00
Harga nasi Arab: RM 5.50
Harga tiket bas awam: RM 0.50 untuk ke semua destinasi


KOS BULANAN: RM 500 (mengikut perbelanjaan masing-masing dan termasuk kos penempatan)

Mesir mengunakan sistem mata wang Pound Mesir (Junaih) : 4 junaih bersamaan RM 1. Murah sangat kan?

BETUL KE PERGIGIAN DI MESIR TAK BAGUS ?

Soalan yang cukup menarik untuk kita bincangkan. Baru-baru ini perkara ini cukup mengemparkan dunia pergigian di Malaysia apabila sebuah akhbar popular tempatan mengeluarkan artikel mengenai ketidakupayaan graduan Mesir ketika houseman (HO) di Malaysia dan prestasi kerja mereka yang cukup menyedihkan.

Sebenarnya tiada apa yang perlu dibimbangkan. Jika kita nak berbicara dengan hanya prestasi seorang ataupun dua, tiga orang, tidak perlu nak pertikaikan yang masih berbaki beribu-ribu yang lain bukan? Ianya satu kebiasaan apabila ada HO yang mempunyai prestasi yang tidak baik sebab permulaan alam pekerjaan. Kenapa mesti dipertengahkan isu ini jika ianya melibatkan graduan luar negara seperti Mesir serta yang lainnya dan jika ianya melibatkan graduan tempatan, isu ini tidak ditimbulkan pula?

Tiada apa yang membezakan kita di Mesir mahupun di tempat-tempat lain. Di mana pun kita jika kita berusaha kita akan dapat, jika kita mengikut jalan dan sentiasa istiqamah kita yang akan cemerlang. Hukum alam telah membuktikan betapa orang yang berusaha itu pasti akan berjaya walaupun jika di timpa kegagalan pada mulanya kemudiannya pasti ada kejayaan.

Oleh itu, tiada istilah pergigian di Mesir tidak bagus kerana sukatan pembelajaran di mana-mana tetap sama dan mengikut kehendak semasa. Cuma yang bezanya mentaliti masyarakat kita di tanah air yang beranggapan pelajar luar negara lebih seronok melancong di negara-negara lain berbanding belajar walhal melancong itu hanyalah satu peluang yang di ambil untuk mengisi masa cuti semester jika tidak pulang ke tanah air. Bahkan, persekitaran belajar jika di ambil kira lebih mencabar di luar negara berbanding di tempatan dari segi makanan, pengangkutan, pergaulan dan sebagainya.


MACAM MANA DENGAN KELAS, MAKANAN?

Komuniti Malaysia di Mesir (Kaherah terutamanya) memang ramai, kadang-kadang terfikir yang aku sedang belajar di Malaysia. Jalan sikit jumpa muka Melayu, jalan lagi jumpa lagi.

Makanan kat Mesir ini memang terbaik bagi siapa yang sukakan roti dan sebagainya. Nasi juga merupakan makanan rugi orang Arab, jadi tak perlu pening kepala. Segala kemudahan ada di sini. Ia lebih seronok apabila restoran-restoran Asia terlalu banyak di sini. Semua jenis makan Melayu ada dijual di Mesir. Contohnya Nasi Kerabu, Nasi Ayam, Mee Celup, dan sebagainya. Jika disenaraikan, tak cukup satu kertas senarai kedai Asia yang ada di Mesir ini bermula dari Malaysia, Indonesia, sehinggalah ke restoran Thailand. Tak nak masak pun tak ada masalah. :)

Image may contain: 11 people, people smiling, people standing

Begitulah serba sedikit perkongsian mengenai pergigian di negara Mesir. Maaf andai masih tidak dapat menjawab persoalan semua kerana segala apa yang di tulis adalah hasil pengalaman pengajian aku di sini selama dua tahun ini. Nasihat untuk adik-adik, belajar di mana-mana adalah sama yang membezakan ia adalah usaha kita sendiri dan bukannya orang lain. Buatlah pilihan yang tepat kerana ianya akan menjadi satu jalan untuk masa depan yang berpanjangan, bertanyalah orang yang berpengalaman kerana mungkin ideanya dapat memberikan kata putus buat kebuntuan dan semestinya jalan lupa untuk berdoa dan yang paling penting Istikarah meminta jalan daripada Allah SWT.

Selamat membuat pilihan ! :)


Siti Nur Nazihah Binti Che Ab Rahim
Alumni MRSM Pengkalan Chepa, Kelantan
Alumni Pusat Asasi UIAM
Tahun 2 Fakulti Pergigian, Universiti Ain Shams, Mesir
Bendahari YDKMM Mesir Sesi 2017/2019
Whatsapp: +201122443611
Facebook : Siti Nazihah Rahim